Saturday, July 18, 2009

Sahabat, Terima Aku Seadanya

Bismillahirrahmanirrahim...

Sahabat,
Aku insan biasa,
tidak mampu lari dari kesilapan,
tidak mampu berdiri dengan sepenuh kesempurnaan,
namun aku cuba yang terbaik,
demi sebuah ukhuwah dalam persahabatan kita.

Sahabat,
sungguh persahabatan itu indah
tampak serinya jika berlandaskan nama Allah
manis rasanya jika disarikan dengan keikhlasan
kerana kata agama kita
itulah hakikat sebuah persahabatan.

Sahabat,
dalam enak kita mengecapi nikmat berukhuwah,
sedarkah kita akan musuh nyata yang maya,
merekalah iblis laknatullah,
yang senantiasa mencari ruang dan peluang,
untuk meracuni ukhuwah kita.

Sahabat,
aku manusia tidak maksum,
kekadang jahil kerana terpedaya dengan musuh,
ketika itu aku jadi bodoh medahului kata hati dari mata hati,
aku jadi cepat menilai satu keburukanmu dari seribu kebaikanmu,
maafkan aku.

Sahabat,
aku lemah dalam melawan egoku,
kerana itu aku tunggu pimpinan darimu,
aku menanti dampingan darimu,
aku damba tiupan semangat rohani darimu,
di persimpangan waktu,aku juga menguji kesabaranmu.

Sahabat,
sungguh penantian satu penyiksaan,
dalam egoku menguji aku perbaiki diri,
namun pada suatu hari,
kau mengungkap bahawa kau tidak dapat menerimaku,
aku terkesima,penuh tanda tanya.

Sahabat,
kau biarkan aku tanpa sebarang penjelasan,
aku lemas dengan persoalan dalam diri,
kau menghilangkan sedikit sanjunganku terhadap peribadi unggulmu,
tolong aku sahabat,
aku inginkan penjelasan dari tulus hatimu.

Sahabat,
aku tetap menanti dalam bingung,
mengapa aku yang kau tak terima?
adakah jalan dakwah kita berbeza?
adakah aku terlalu keras kepala?
adakah aku terlalu menyakiti kesabaranmu?

Sahabat,
kalau kerana jalan dakwah yang berbeza,
ketahuilah bahawa kita punyai prinsip yang tidak sama,
sedarlah bahawa kita hanya hamba,
dakwah siapa yang terbaik hanya pada perhitungan Allah,bukan manusia,
apa yang penting tujuan kita sama,menuju jalanNya.

Sahabat,
kalau kerana aku terlalu keras kepala,
aku akui sememangnya itu adalah aku,
tapi aku ingin kau tahu,
bahawa persahabatan ini telah banyak menghakis sifat itu,
terima kasih.

Sahabat,
kalau kerana aku sering menguji kesabaranmu,
aku mohon kemaafan yang tidak terhingga,
mungkin kerana ini persahabatan yang terbina hampir retak,
egoku jahat kerana menyakitimu,
maafkanlah aku sekali lagi.

Sahabat,
Sekian kali aku pohon penjelasan darimu,
tolong terima aku seadanya,
aku ingin ukhuwah ini kekal selamanya,
bersatu atas kalimah Allah yang esa,
harum dan abadi sampai ke syurga.


Tamat pada:1.30 petang
Villa Himayatil Lu'luah,
Bouhlal,Rabat.