Thursday, December 10, 2009

Marhaban ya Muharram

Bismillahirrahmanirrahim


Muharram,bulan yang membuka lembaran baru sejarah Islam.

Tercatat peristiwa maha agung yang menghasilkan impak terlalu istimewa.

Peristiwa itu adalah peristiwa hijrah yang mampu menyatukan ummah.

Hijrah yang membina kekuatan Islam di mata dunia.

Ayuh kita singkapi cerita hijrah.

Jangan jemu,kelak kita akan tahu.

Subhanallah,rahsia yang penuh hikmah!

...


Beberapa hari lagi,kita akan menginjak ke tahun baru dalam kalendar Islam,tahun 1431.Ketetapan Khalifah Umar al-Khattab,atas usul Khalifah Uthman bin 'Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib supaya menjadikan 1 Muharram sebagai hari permulaan bagi tahun baru dalam takwim Islam menyebabkan kita dapat menghayati satu peristiwa agung iaitu hijrah.

Buktinya,apabila sebut bulan Muharram,pasti lirik ini akan terngiang-ngiang dalam benak fikiran kita:

Satu Muharram detik permulaan

Perkiraan Tahun Islam Hijrah

Perpindahan nabi dan umat Islam

Dari Kota Mekah ke Kota Madinah.....


Lembaran Baru

1 Muharram 1431 merupakan lembaran baru bagi saya.Mana tidaknya,1 Muharram tahun ini seiring dengan tarikh hari lahir saya yang ke-21.Bagi saya,21 adalah tahap umur awal kedewasaan bagi seorang perempuan.Ini bererti saya telah melepasi tahap umur remaja.Sejenak bermuhasabah,adakah saya menempuh alam remaja dengan jayanya?Wallahu a'alam,semuanya dalam perhitungan Allah Ta'ala.

Saya pernah mendengar orang berkata bahawa apabila kita berumur 21 tahun kita akan diberi 'green light' sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan terutamanya melibatkan masa hadapan.(Semestinya 'green light' dari ibu bapa)Bagi saya,tiada had umur yang ditetapkan untuk mendapat 'green light' bagi melakukan apa-apa keputusan.Kematangan seseorang terletak pada kerasional fikirannya.Kerasional fikiran pula bergantung kepada tahap jauhnya seseorang itu berfikir.Kesimpulannya,semakin jauh fikiran seseorang,semakin rasional dirinya,maka dia boleh dianggap matang.Tiada had umur,asalkan sesuatu keputusan itu memberi kesan yang positif kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Tidak dinafikan,apabila menjengah ke alam dewasa,terlalu banyak 'dilema masa hadapan' yang perlu kita tempuhi.Perlu kita ingat bahawa alam dewasa adalah alam realiti kehidupan dan masa hadapan.Kebanyakan keputusan terletak di tangan kita,hampir mustahil untuk bergantung dengan orang lain tetapi sekali-sekala kita memerlukan khidmat nasihat mereka.Jangan ketepikan mereka terutama ibu bapa.Asam garam kehidupan dan pengalaman mereka sangat penting untuk dijadikan panduan hidup kepada kita yang 'setahun jagung'.

Kerjaya Impian Hadiah Kedewasaan
Tiada perkataan yang boleh diungkap melainkan Alhamdulillah,segala pujian bagi Allah,Tuhan semesta alam.Diterima untuk menabur khidmat di sebuah sekolah merupakan satu kenikmatan bagi saya.Angan-angan menjadi seorang pendidik sejak di bangku sekolah telah termakbul.Saya akan memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru pada awal Januari 2010.Kegembiraan berganda apabila generasi yang bakal saya didik adalah generasi dari sekolah lama saya.Berbaloi saya mengikut saranan ayah supaya menghantar resume.Bukan sekadar resume,saya tidak menyangka bahawa saya akan menghadapi temuduga yang 'menggerunkan' untuk bersaing dengan beberapa graduan lain.Saya tidak meletak harapan yang tinggi,cukuplah berserah kepada Allah Ta'ala dan yakin terhadap kehendakNya.Apa yang paling penting adalah pengalaman menduduki temuduga.
"...Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(Surah at-Talaq:ayat 2-3)
Maka,benarlah kalam Allah itu.Subhanallah.
Disebalik kegembiraan,ada sedikit ketakutan.Generasi yang bakal saya didik hampir sebaya dengan saya.Mereka hanya kurang beberapa tahun dari saya.Mereka remaja,saya awal dewasa.Mereka berumur 15 hingga 17 tahun,saya hanya 21 tahun.Pelbagai cabaran yang saya dengar apabila guru muda berhadapan dengan anak didik remaja.Namun,saya berpendapat bahawa kejayaan datang hanya setelah kita berhadapan dengan ketakutan atau cabaran.'Fearfactor' adalah lumrah untuk mencapai kejayaan.Jika tidak,mana mungkin seseorang itu bergelar doktor pada hari ini,jika dahulu dia tidak berhadapan dengan mayat untuk lulus peperiksaannya.Berbekalkan semangat yang tinggi,azam yang utuh serta keyakinan diri yang mantap,insyaAllah kita akan sentiasa positif dalam menghadapi cabaran.
Saya amat mengkagumi al-marhum Sultan Muhammad al-Fateh yang telah menakluki Kota Constantinople seawal usia 21 tahun.Kebijaksanaannya dalam mengatur strategi mengundang rasa takjub para sejarawan timur dan barat.Saya menghitung diri,apakah bakti yang telah saya berikan ketika berumur 21 tahun ini?Saya tidak sehebat al-Marhum Sultan Muhammad al-Fateh yang baktinya diagung-agungkan di mata dunia.Peribadinya yang soleh dari setiap sudut tidak mampu saya tandingi.Tetapi saya ingin sekali menjadi sepertinya.Saya menyeru para remaja supaya soroti sejarah pahlawan Islam.Para sahabat Rasulullah misalnya,kebanyakan mereka mengangkat pedang demi pertahankan maruah suci agama Islam ketika usia masih muda belia!Sedangkan kita,mengangkat pen untuk mencatat ilmu pun,masih berkira-kira!Sama-sama fikirkan.
Sinonim Tahun Baru
Tidak lain dan tidak bukan adalah azam baru.Azam baru hanyalah simbolik tahun baru.Kebanyakan orang hanya melunaskan dengan kata-kata,tetapi tidak sesekali merealisasikannya.Puncanya dari hati.Jika hati tidak kuat,maka fikiran dan jasad menjadi lemah.Apabila semuanya lemah,segala kebaikan sukar dilaksanakan.Cadangan saya,berpeganglah pada prinsip 'hidup ini sementara,kepada Allah kita kembali'.Jika kita sedar bahawa hidup ini hanyalah seketika,kita akan berhabis-habisan menabur kebaikan.Jika sebaliknya,kita akan dicemari dengan prinsip 'hidup ini sementara,jom kita enjoy'.Na'uzubillah.
Ya,dunia ini hanya sementara.Begitulah sabda Rasulullah s.a.w:
"...Apalah ertinya bagiku akan dunia ini.Perumpamaannya bagiku adalah seperti orang yang bermusafir berhenti sebentar di bawah pokok,kemudian dia akan meninggalkannya."
(Musnad Ahmad,riwayat Abdullah bin Mas'ud r.a)
Mari kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa.