Sunday, October 4, 2009

Malaysia,bermula kehidupan baru

Bismillahirrahmanirrahim


Tanggal 1 Oktober 2009
2.00 petang.


Saya selamat menjejaki Bumi Malaysia setelah 3 tahun bersemayam di bumi asing,Maghribi.Sebelum pesawat mendarat,rasa sebak meruntun jiwa sejurus melihat tanah air nan subur,tanah air yang sangat dirindui setelah kian lama saya tinggalkannya.Bermula sebuah episod kehidupan yang baru dan jauh berbeza namun episod perjuangan masih tetap sama tapi bukan di takuk lama.


Sebak sekali lagi menyerbu tatkala saya melihat wajah-wajah yang terlalu saya rindui,khususnya ibu bapa tercinta.Alhamdulillah,Allah Ta'ala memberi keberkatan umur kepada kami untuk terus berkasih-sayang.Adik kecil yang saya tinggalkan ketika usianya 3 tahun malu-malu ketika bertemu tapi tidak teragak-agak memeluk dan mencium saya.Subhanallah,budak kecil ini sudah lain benar.Sudah tinggi dan sudah 6 tahun.Adik beradik yang lain masih belum berkesempatan untuk bertemu memandangkan masing-masing sudah kembali ke kolej bagi meneruskan kuliah.

Penat namun gembira.Perjalanan KLIA-Kuantan yang mengambil masa 4 jam saya amati.Saya hirup udara Malaysia yang suam-suam kuku dengan sungguh-sungguh.Lain baunya.Cuaca Malaysia redup tapi panas.Bukan redup tapi dingin seperti cuaca di Morocco yang saya tinggalkan tatkala musim luruh menjengah.Alhamdulillah,ini juga satu nikmat.

Kesihatan yang berada di tahap kurang memuaskan memaksa saya melakukan medical check-up sepantas mungkin.Sebelum tiba di rumah,saya singgah di klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.Alhamdulillah,baru di permulaan demam.Boleh dicegah.Tiada tanda-tanda dijangkiti influanza H1N1.(itu yang paling penting,bukan?)

Tiba di rumah,saya bagai rusa masuk kampung.Serba-serbi kekok.Mana tidaknya,pertambahan rumah begitu pesat.Sedikit sebanyak,rumah saya telah berubah.Emak dan ayah hanya mentertawakan kekekokan saya.Banyak ingin saya ceritakan kepada mereka,tapi kondisi badan tidak mengizinkan.Saya nyenyak selepas menelan ubat.

Hari seterusnya,saya menziarahi opah dan atuk.Mereka inilah yang menjaga saya masa kecil.Saya tahu,mereka terlalu rindukan saya.Seperti dijangka,air mata tumpah jua.Kejap mereka memeluk saya.Lama dan saya hilang kata-kata.Sangat sebak.Wajah mereka jelas dimamah usia.Sepanjang ketiadaan saya,mereka sering sakit.Masuk keluar hospital tidak terkira berkali-kali.Atuk sudah tidak mampu galak bergurau dengan saya.Sudah uzur dan tidak bercakap tapi saya tahu dia bahagia.Wajahnya yang mempamerkan segalanya.Opah masih seperti dulu,ceria dan suka bergurau.Matanya sahaja kian kabur.Alhamdulillah,segala-galanya kuasa Allah yang mentakdirkan kami bertemu lagi.

Jemputan rumah terbuka masih rancak dari saudara mara dan rakan taulan ayah dan emak.Kekeliruan waktu jaga dan rehat menyebabkan saya sedikit pening.Namun,saya gagahi diri demi merapatkan tali silaturrahim sesama mereka.Ucapan tahniah tak putus-putus saya terima.Seronok mereka mendengar bicara saya tentang pengalaman hidup di perantauan.Barakallahu fikum.

Sahabat-sahabat lama tidak saya lupa.Seorang demi seorang saya hubungi untuk melepaskan rindu.Alhamdulillah,ada yang sudah bekerja dan bakal mendirikan rumah tangga.Kebanyakan masih belajar sama ada di luar ataupun di dalam negara.Masing-masing kepingin untuk bertemu tapi terhalang oleh batasan waktu dan tempat.InsyaAllah,kita akan bertemu dalam masa terdekat ini.

Tentang perancangan terdekat.Saya telah susun dengan rapi,tapi Allah Ta'ala yang akan tentukan.Beberapa peluang pekerjaan telah terbentang di hadapan saya,hanya perlu siapkan resume dan hantar.Ya,saya tekad untuk terjun ke alam pekerjaan dahulu,sebelum menyambung semula pelajaran ke peringkat seterusnya.

Berbeza sungguh berbeza.Jika dahulu saya hanya seorang pelajar,kini beberapa lagi tanggungjawab menanti untuk dipikul.Banyak perkara yang perlu saya fikirkan sehingga mendorong saya ke arah dalam dilema.Semoga Allah Ta'ala terus memberi petunjuk kepada saya.Saya minta kalian mendoakan yang terbaik buat diri saya.

"....boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahalia amat buruk bagimu;Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah:ayat 216)


Gempa bumi kerap berlaku kini.Susulan demi susulan.Allahu Akbar!Peringatan-Nya telah tiba.Saya pasti,anda tahu ini alamat apa.

Rumah Malaysia,
12.25 malam.
7 Oktober 2009 bersamaan 18 Syawal 1430.

3 comments:

خديجة خليلة said...

Entah kenapa, perasaan akak sebak membaca entri Dila kali ini. Mungkin akak pun pernah melalui saat seperti Dila ini. Sebak akak teramat dirasai sewaktu kaki melangkah pergi meninggalkan bumi Maghribi yang terlalu banyak kenangannya.

Hati akak lebih tersentuh membaca kisah pertemuan Dila dengan Atuk dan Opah Dila. Dila beruntung masih lagi dapat melihat mereka dan salam cium diri mereka. Akak pulang 2007 yang lalu tidak dapat mengucup tangan Atuk yang 2 tahun sebelumnya melarang pemergiaan akak. Kepulangan akak 2009 terbaru ini tidak lagi akak dapat memeluk tubuh kurus seorang nenek.

Selamat pulang ke Malaysia! Selamat menuju ke alam pekerjaan!

-Kak Lilah-

Tautan Hati said...

Assalamualaikum adillah..selamat kembali ke Malaysia..seronok dapat baca blog awak..matang sangat.:)

Ibnu Ahmad said...

Assalamualaikum..
Kullu Sanah wa Antum Toyyieb..
Selamat kembali ke tanah Air..
Moga Allah permudahkan segala yang di rancang..
Jangan lupa doakan ana yang masih berbaki disini..
Baarakallah fieki..