Sunday, September 28, 2008

Perpisahan dengan Ramadhan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Syawal bakal tiba.Seluruh umat islam akan meraikan hadiah dari Allah taala setelah penat menahan diri dari segala macam nafsu selama satu bulan lamanya.Hari Raya Aidilfitri.Tanda kasih Ilahi terhadap hamba-hambaNya yang sanggup melaksanakan perintahNya iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.Sambutlah dengan penuh kesyukuran dan rasa kemenangan.

Ramadhan......Beberapa hari lagi kita akan meninggalkannya.Hati diterjah rasa pilu yang sangat mendalam seolah-olah mahu berpisah dengan orang yang tersayang.Mengapa ya?Sangat berbeza jika dibanding dengan zaman kanak-kanak dan awal remaja dahulu.Ramadhan tak dihayati tapi hari raya dinanti.MasyaAllah..betapa jahilnya diri ini ketika zaman itu.

Mampukah perkara ini terjadi dalam bulan lain?

1)Khatam al-Quran dalam masa kurang sebulan
Sesetengah orang berkali-kali khatam al-Quran dalam tempoh ini.Tabarakallah 'alaikum.Tidaklah ana sehebat itu.Alhamdulillah,berjaya walaupun sekali.Itupun dalam bulan Ramadhan sahaja.Mengapa?Kerana pada bulan Ramadhan kuliah tidak rancak,sangat rajin melakukan tadarus beramai-ramai,tolak masa makan dan sebagainya.Tempoh selepas menjelang hari raya adalah tempoh kesibukan di kuliah,menguruskan pelajar baru,ulangkaji pelajaran dan peperiksaan.Jadi,tempoh membaca al-Quran biasanya terhad selepas solat atau sebelum tidur sahaja.Tapi sangatlah tidak mustahil untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan sekiranya waktu berborak kosong,mengadap komputer,termenung,melepak di mahlabah atau sewaktu dengannya dikurangkan ke tahap yang paling minima.Setuju,bukan?

2)Berbuka puasa beramai-ramai
Puasa sunat bukan dilakukan sekaligus oleh ahli rumah.Kadang-kadang seorang,berdua atau bertiga.Berbuka puasa pun,ala kadar sahaja.Apabila Ramadhan,semua berpuasa,maka boleh berbuka sekaligus bersama-sama.Sangat meriah.Lebih-lebih lagi,setiap hari ada sahaja yang ringan tulang membuat kuih atau moreh.Tak kurang juga jemputan dari teman sekuliah.Biasanya, topik hangat yang dibincangkan sambil berbuka puasa adalah tentang puasa,solat terawih,malam lailatul qadar,tidak terlepas juga pengalaman berhari raya di zaman kanak-kanak dan di perantauan.Di bulan lain,masih ada perbualan tentang hal ini?Mungkin ada,tapi sangat jarang.

3)Bersolat di masjid
Semestinya masjid menjadi pilihan untuk bersolat terawih.Mengapa?Sukar nak digambarkan keseronokannya.Riang melihat ramai orang berpusu-pusu menuju ke masjid.Tahun ini Masjid Umrah menjadi pilihan.Bacaan imamnya,MasyaAllah.Jemaah terlalu ramai sehingga berpeluang bersolat beratapkan langit.Alhamdulillah,sangat seronok.
Di masjid ini,berkenalan pula dengan Wafa yang mengkagumi Malaysia.Hari-hari berjalan pulang bersamanya.Sehinggalah pada suatu hari,dia bertanya apakah makanan kegemaran ana.Ana pun menjawab:'raziza'(sejenis makanan orang Morocco seperti roti canai dan boleh dilerai-leraikan serta dicicah dengan madu yang dicairkan dengan mentega sebelum dijamah.Ana kira,rasanya lebih enak daripada roti canai).Maka,keesokkan harinya dia telah membawa raziza untuk ana.Sukanya..Alhamdulillah.(Nak buat,tidak mampu kerana caranya agak sukar dan mengambil masa yang lama.Nak promosi sebentar;sesiapa yang tak pernah merasa keenakan raziza terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Morocco,silalah membelinya di suwaiqa atau tempat-tempat tertentu yang berhampiran dengan anda.Macam rugi kalau tak rasa:))
Selepas ini,hanya mampu bersolat di rumah sahaja.Alasan utama,kesibukan kuliah membawa kepada penimbunan assignment,kepenatan belajar,keperluan untuk membuat nota pelajaran dan kemestian mengulangkaji pelajaran.Semua itu tidak lain dan tidak bukan memerlukan waktu malam.Ya,malam Ramadhan sangat istimewa dari malam-malam bulan lain.Ketenangan sangat dirasakan.(Sedikit fakta:Kuliah di universiti ana langsung tidak rancak di bulan Ramadhan kerana kebanyakan para pensyarah bermusafir untuk tujuan dakwah).

4)Qiamullail
Semua orang akan 'qiamullail' sekurang-kurangnya untuk bersahur.Alang-alang hendak bersahur,bangunlah awal sedikit untuk mendamba cinta Yang Maha Agung.Sengaja tidak mendirikan solat witir sejurus selepas solat terawih atas tujuan ini.Minda telah tersetting,'tak lengkap solat terawih tanpa solat witir'(walaupun hanya solat sunat tetapi solat sunat yang sangat dituntut.Terasa rugi kalau tak laksanakannya).Alhamdulillah,dipermudahkan untuk bangun.Mungkin ditolak dengan gangguan syaitan kerana syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan.
Dari Abi Hurairah r.a. telah berkata:Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Apabila tibanya bulan Ramadhan,pintu-pintu syurga dibuka dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
-Hadis riwayat Bukhari,Muslim dan Nasaie-

Subhanallah,nikmatnya bulan Ramadhan.Betapa beruntungnya bagi sesiapa yang menemui malam lailatul qadar.Mungkinkah kita akan mudah bangun di malam bulan lain semudah bangun di malam Ramadhan?Jawapannya,hendak seribu daya,tak nak seribu dalih.Bila diri sentiasa mahu berusaha menggapai redha Allah,hati pasti merasa manisnya usaha itu.Segalanya mungkin pabila segenap kalbu telah diselebungi dengan cinta kepadaNya.InsyaAllah.

5)Mendengar ayat-ayat al-Quran di kedai,pasar-pasar dan mall.
Sangat takjub ketika berjalan-jalan di tempat-tempat ini.Tiada lagu-lagu langa melainkan ayat-ayat suci al-Quran atau lagu-lagu nasyid.Beberapa kali berjalan di suwaiqa di bulan Ramadhan,memang perkara ini berlaku.Sini bacaan ayat al-Quran oleh Syeikh Masyari al-Fasi,situ Syeikh Ahmad al-Ajami,sinun Syeikh Said al-Ghamidi.Tiada lagu Westlife,Celine Dion,Michael Jackson,Nancy Ajram,Amr Diab atau sebagainya yang selalunya dimainkan di bulan-bulan lain.MasyaAllah,atmosfera yang sangat membahagiakan.



Dalam kesyahduan meninggalkan Ramadhan,bersyukurlah kita ketika mana menyambut satu syawal.Caranya dengan berzikir,bertahmid,bertasbih dan bertakbir mengingati kebesaran Allah s.w.t.Insafi diri,sejauh mana amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan.Adakah kita manfaatkan bulan ini dengan sebaik mungkin?Adakah puasa kita sempurna atau semata-mata menahan lapar dan dahaga?Berdoalah agar kebajikan dan amalan yang kita lakukan diterima Allah s.w.t.Istiqamah dalam melakukan amalan-amalan soleh hingga ke akhir hayat,bukan setakat di bulan Ramadhan sahaja.

Ramadhan,semoga kita bertemu lagi di tahun akan datang.InsyaAllah.(Ya Allah,sayunya saat ini...)

Dengan rasa kehinaan diri dan kerendahan hati,ana mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,Kullu Sanah wa Antum bil Khair kepada umat islam di seluruh dunia.Maafkan ana seandainya ada salah dan silap sama ada disengajakan ataupun tidak.Mungkinkah Aidilfitri kali ini adalah Aidilfitri yang terakhir bagi ana di perantauan?Wallahu a3lam.....

-Esok mahu telefon ayah,emak,abang,adik-adik,opah,atuk,saudara-mara,kawan-kawan dan sebagainya.Tak sabar.(Kepada orang-orang tersayang yang tersenarai di atas,sila sediakan tisu sebelum anda dihubungi oleh ana...:))

Saturday, September 13, 2008

Sanah Helwa

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Usai solat subuh berjemaah dan bertadarus.Mengantuk.Didik diri supaya tidak tidur selepas subuh.Mahu hilangkan kantuk,lantas laptop di switch on dan menerjah ke beberapa laman web.Selang beberapa minit,sisi kanan laptop menerbitkan perkataan 'Nur Athirah Amiruddin is now online'.Adinda seorang ini sedang berada di atas talian!Gembira.Segera ana menegurnya.Seperti biasa bertanya khabar dan di mana lokasinya.Sudah agak.Hujung minggu sebegini pasti terbang ke rumah.Mentang-mentanglah POLISAS(Politeknik Sultan Ahmad Shah) 20 minit sahaja jaraknya dari rumah.Katanya berbuka puasa di rumah lagi seronok,dapat makan masakan mak yang enak.Bertuah!
Ada gambar baru yang dia beri.Gambar-gambar itu bertemakan 'Hari Lahir Aisy yang ke-5'.Sudah besar adinda bongsu ana.Sedar tak sedar,sudah 2 tahun ana meninggalkannya.


video
Aisy yang dipaksa beraksi oleh Kak Fiqa walaupun mata
sudah mengantuk.Ketika ini,Aisy berusia 4 tahun.:)

Tanggal 7 September 2003 bersamaan 10 Rejab 1424 Aisy lahir ke dunia.Ketika itu,adinda yang lahir sebelumnya berusia 11 tahun.Lama juga jarak mereka.Alhamdulillah,rezeki yang tak disangka-sangka oleh Allah Taala.Ayahandalah menjadi orang yang paling gembira.Menyukai nama 'Aisyah' lalu diletakkan pada si kecil ini.Adinda yang seorang ini paling panjang namanya-Nur Aisyah Athilah-
Benar-benar menjadi penyeri keluarga.Memperoleh kasih sayang yang melimpah-limpah dari ayahanda,bonda dan kekanda-kekanda yang sudah besar panjang.Bertuah sungguh.
Aisy sudah pun bersekolah tadika sejak usianya 4 tahun.Alhamdulillah,sudah pandai membaca,mengaji,menghafal doa dan surah-surah pendek dan hobinya adalah melukis dan mewarna.Terbaru dari cerita bonda,ketika bonda berterawih di masjid,Aisy mesti bawa pensil warna dan kertas.Orang berterawih,dia melakar.Bila umur 6 atau 7 tahun ikut bonda solat,ok?
Aisy sudah pun berusia 5 tahun.Hanya ayah dan bonda jadi peneman di rumah.Kekanda-kekandanya sudah tersebar untuk menuntut ilmu.Abang-UITM,Kak Ila-Morocco,Kak Ti-POLISAS,Kak Fiqa-KISAS.Itulah hikmah Aisy dilahirkan sedikit lambat.'Pengganti' kekanda-kekanda untuk menjadi permata ayah bonda.Tak sunyi rumah dengan mulut becoknya....

Emak,Aisy,Ayah di hari lahir Aisy yang ke-5

Selamat hari lahir adindaku
Kau permata hati keluarga
Lahirmu membawa sinar bahagia
Harapan kekanda agar adinda menjadi anak solehah untuk ayah bonda
Kau ibarat kain putih
Orang dewasa di sekelilingmu akan melakar di atasnya
Insyaallah,kami akan lakarkan corak tercantik
Lalu menjadi pakaian yang terbaik
Bakal diguna pakai oleh mu,seiring arus tumbesaran
Jadilah sehebat namamu,adindaku
Yang diambil sempena nama ummul mukminin Saidatina Aisyah r.a.
Jua harapanku,agar usia adinda sentiasa diberkati Rabbul 'Alamin........






Friday, September 5, 2008

Ramadhan Kareem

Dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah,Ramadhan yang dinanti tiba jua.Bahagialah sesiapa yang mencintai ibadah dan mendamba keredhaan Allah Taala.Ikhlaskan hati,istiqamahkan diri mencari kasih-Nya dengan melaksanakan ibadah dan amal kebajikan.InsyaAllah,rahmat dan keampunannya sangat mudah diperoleh kerana pintu syurga telah dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup.Subhanallah!

Daripada Abi Hurairah r.a,Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:"Apabila tiba bulan Ramadhan,pintu-pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu."
Hadis riwayat oleh Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Nasaie,Imam Ahmad dan Imam Baihaqi.

Daripada Abi Hurairah r.a,aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda tentang Ramadhan:
Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan,diampun baginya dosa-dosa yang telah lalu."
Hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Tarmizi,Imam Abu Daud,Imam Nasaie,Imam Malik,Imam Ahmad dan Imam Baihaqi.

Tunggu apa lagi?Ayuh,kita mengimarahkan Ramadhan!

Pengalaman Puasa

Terkenang ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dulu.Ayah dan mak mendidik ana berpuasa seawal 6 tahun.Sewaktu itu,ana memaksa diri tidak makan dan minum sehingga diri menjadi lembik seperti sotong!Emak tidak pula menyuruh berbuka puasa dan tidak memaksa pula untuk berpuasa.Tetapi lebih menggalakkan supaya meneruskan puasa.Setiap jam mesti ana bertanya,"Mak,bila kita nak buka puasa?"
Sambil tersenyum melihat ana yang sudah melepek mak menjawab:"Sikit lagi sayang.Anak mak ni kuat boleh tahan puasa."Sudah dipuji begitu,sukalah ana.:)
Dan hasilnya ana berjaya berpuasa selama 27 hari.Alhamdulillah..Dimana lagi 3 hari?:)
Bukan itu sahaja,pulang dari pejabat,ayah terus bawa kami adik beradik ke Bazar Ramadhan untuk memilih juadah berbuka puasa.Kata ayah,ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa.Pertama,bila berbuka,gembira dengan waktu berbukanya dan yang kedua,gembira dengan puasanya apabila bertemu dengan Allah kelak.(Rujuk hadis di bawah)

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya."
Hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Nasaie,Imam Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Imam Baihaqi.

Kami hanya mengangguk-ngangguk.Dalam fikiran ana,gembira yang pertama itu mesti sebab ada juadah yang pelbagai dan lazat.Kecil lagi masa itu...tidak tahu konsep hadis.:)

Setiap kali hendak berbuka,mesti mahukan juadah yang banyak.Tamak betul waktu itu.Kata orang,mata lapar.Memang benar.Berbuka nanti sedikit sahaja yang dijamah.Kalau tidak dimakan lepas solat terawih,alamatnya jadi juadah ayam itik keesokan harinya.Mujur ada ayam itik....

Mungkin satu lagi penyebab semangat berkobar-kobar ingin berpuasa adalah kerana duit raya.Upah puasa sehari satu ringgit.Kalau 30 hari.Lumayan....Lebih-lebih lagi,atuk,opah,bapa saudara,emak saudara turut mengupah.Bertambah lumayanlah kita....:)

Semakin meningkat dewasa,semakin faham apa itu puasa.Tiada lagi pembaziran,tiada lagi duduk kosong membilang waktu berbuka,tiada lagi upah,tiada lagi melepek di atas katil mahupun di hadapan tv.Puasa di zaman dewasa lebih terisi.Tarbiah dan kesedaran diri yang seiring dengan kedewasaan mendorong kita menghayati apakah erti puasa yang sebenar.Alhamdulillah.

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna.Amin....