Sunday, September 28, 2008

Perpisahan dengan Ramadhan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Syawal bakal tiba.Seluruh umat islam akan meraikan hadiah dari Allah taala setelah penat menahan diri dari segala macam nafsu selama satu bulan lamanya.Hari Raya Aidilfitri.Tanda kasih Ilahi terhadap hamba-hambaNya yang sanggup melaksanakan perintahNya iaitu berpuasa di bulan Ramadhan.Sambutlah dengan penuh kesyukuran dan rasa kemenangan.

Ramadhan......Beberapa hari lagi kita akan meninggalkannya.Hati diterjah rasa pilu yang sangat mendalam seolah-olah mahu berpisah dengan orang yang tersayang.Mengapa ya?Sangat berbeza jika dibanding dengan zaman kanak-kanak dan awal remaja dahulu.Ramadhan tak dihayati tapi hari raya dinanti.MasyaAllah..betapa jahilnya diri ini ketika zaman itu.

Mampukah perkara ini terjadi dalam bulan lain?

1)Khatam al-Quran dalam masa kurang sebulan
Sesetengah orang berkali-kali khatam al-Quran dalam tempoh ini.Tabarakallah 'alaikum.Tidaklah ana sehebat itu.Alhamdulillah,berjaya walaupun sekali.Itupun dalam bulan Ramadhan sahaja.Mengapa?Kerana pada bulan Ramadhan kuliah tidak rancak,sangat rajin melakukan tadarus beramai-ramai,tolak masa makan dan sebagainya.Tempoh selepas menjelang hari raya adalah tempoh kesibukan di kuliah,menguruskan pelajar baru,ulangkaji pelajaran dan peperiksaan.Jadi,tempoh membaca al-Quran biasanya terhad selepas solat atau sebelum tidur sahaja.Tapi sangatlah tidak mustahil untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan sekiranya waktu berborak kosong,mengadap komputer,termenung,melepak di mahlabah atau sewaktu dengannya dikurangkan ke tahap yang paling minima.Setuju,bukan?

2)Berbuka puasa beramai-ramai
Puasa sunat bukan dilakukan sekaligus oleh ahli rumah.Kadang-kadang seorang,berdua atau bertiga.Berbuka puasa pun,ala kadar sahaja.Apabila Ramadhan,semua berpuasa,maka boleh berbuka sekaligus bersama-sama.Sangat meriah.Lebih-lebih lagi,setiap hari ada sahaja yang ringan tulang membuat kuih atau moreh.Tak kurang juga jemputan dari teman sekuliah.Biasanya, topik hangat yang dibincangkan sambil berbuka puasa adalah tentang puasa,solat terawih,malam lailatul qadar,tidak terlepas juga pengalaman berhari raya di zaman kanak-kanak dan di perantauan.Di bulan lain,masih ada perbualan tentang hal ini?Mungkin ada,tapi sangat jarang.

3)Bersolat di masjid
Semestinya masjid menjadi pilihan untuk bersolat terawih.Mengapa?Sukar nak digambarkan keseronokannya.Riang melihat ramai orang berpusu-pusu menuju ke masjid.Tahun ini Masjid Umrah menjadi pilihan.Bacaan imamnya,MasyaAllah.Jemaah terlalu ramai sehingga berpeluang bersolat beratapkan langit.Alhamdulillah,sangat seronok.
Di masjid ini,berkenalan pula dengan Wafa yang mengkagumi Malaysia.Hari-hari berjalan pulang bersamanya.Sehinggalah pada suatu hari,dia bertanya apakah makanan kegemaran ana.Ana pun menjawab:'raziza'(sejenis makanan orang Morocco seperti roti canai dan boleh dilerai-leraikan serta dicicah dengan madu yang dicairkan dengan mentega sebelum dijamah.Ana kira,rasanya lebih enak daripada roti canai).Maka,keesokkan harinya dia telah membawa raziza untuk ana.Sukanya..Alhamdulillah.(Nak buat,tidak mampu kerana caranya agak sukar dan mengambil masa yang lama.Nak promosi sebentar;sesiapa yang tak pernah merasa keenakan raziza terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Morocco,silalah membelinya di suwaiqa atau tempat-tempat tertentu yang berhampiran dengan anda.Macam rugi kalau tak rasa:))
Selepas ini,hanya mampu bersolat di rumah sahaja.Alasan utama,kesibukan kuliah membawa kepada penimbunan assignment,kepenatan belajar,keperluan untuk membuat nota pelajaran dan kemestian mengulangkaji pelajaran.Semua itu tidak lain dan tidak bukan memerlukan waktu malam.Ya,malam Ramadhan sangat istimewa dari malam-malam bulan lain.Ketenangan sangat dirasakan.(Sedikit fakta:Kuliah di universiti ana langsung tidak rancak di bulan Ramadhan kerana kebanyakan para pensyarah bermusafir untuk tujuan dakwah).

4)Qiamullail
Semua orang akan 'qiamullail' sekurang-kurangnya untuk bersahur.Alang-alang hendak bersahur,bangunlah awal sedikit untuk mendamba cinta Yang Maha Agung.Sengaja tidak mendirikan solat witir sejurus selepas solat terawih atas tujuan ini.Minda telah tersetting,'tak lengkap solat terawih tanpa solat witir'(walaupun hanya solat sunat tetapi solat sunat yang sangat dituntut.Terasa rugi kalau tak laksanakannya).Alhamdulillah,dipermudahkan untuk bangun.Mungkin ditolak dengan gangguan syaitan kerana syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan.
Dari Abi Hurairah r.a. telah berkata:Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Apabila tibanya bulan Ramadhan,pintu-pintu syurga dibuka dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
-Hadis riwayat Bukhari,Muslim dan Nasaie-

Subhanallah,nikmatnya bulan Ramadhan.Betapa beruntungnya bagi sesiapa yang menemui malam lailatul qadar.Mungkinkah kita akan mudah bangun di malam bulan lain semudah bangun di malam Ramadhan?Jawapannya,hendak seribu daya,tak nak seribu dalih.Bila diri sentiasa mahu berusaha menggapai redha Allah,hati pasti merasa manisnya usaha itu.Segalanya mungkin pabila segenap kalbu telah diselebungi dengan cinta kepadaNya.InsyaAllah.

5)Mendengar ayat-ayat al-Quran di kedai,pasar-pasar dan mall.
Sangat takjub ketika berjalan-jalan di tempat-tempat ini.Tiada lagu-lagu langa melainkan ayat-ayat suci al-Quran atau lagu-lagu nasyid.Beberapa kali berjalan di suwaiqa di bulan Ramadhan,memang perkara ini berlaku.Sini bacaan ayat al-Quran oleh Syeikh Masyari al-Fasi,situ Syeikh Ahmad al-Ajami,sinun Syeikh Said al-Ghamidi.Tiada lagu Westlife,Celine Dion,Michael Jackson,Nancy Ajram,Amr Diab atau sebagainya yang selalunya dimainkan di bulan-bulan lain.MasyaAllah,atmosfera yang sangat membahagiakan.



Dalam kesyahduan meninggalkan Ramadhan,bersyukurlah kita ketika mana menyambut satu syawal.Caranya dengan berzikir,bertahmid,bertasbih dan bertakbir mengingati kebesaran Allah s.w.t.Insafi diri,sejauh mana amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan.Adakah kita manfaatkan bulan ini dengan sebaik mungkin?Adakah puasa kita sempurna atau semata-mata menahan lapar dan dahaga?Berdoalah agar kebajikan dan amalan yang kita lakukan diterima Allah s.w.t.Istiqamah dalam melakukan amalan-amalan soleh hingga ke akhir hayat,bukan setakat di bulan Ramadhan sahaja.

Ramadhan,semoga kita bertemu lagi di tahun akan datang.InsyaAllah.(Ya Allah,sayunya saat ini...)

Dengan rasa kehinaan diri dan kerendahan hati,ana mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,Kullu Sanah wa Antum bil Khair kepada umat islam di seluruh dunia.Maafkan ana seandainya ada salah dan silap sama ada disengajakan ataupun tidak.Mungkinkah Aidilfitri kali ini adalah Aidilfitri yang terakhir bagi ana di perantauan?Wallahu a3lam.....

-Esok mahu telefon ayah,emak,abang,adik-adik,opah,atuk,saudara-mara,kawan-kawan dan sebagainya.Tak sabar.(Kepada orang-orang tersayang yang tersenarai di atas,sila sediakan tisu sebelum anda dihubungi oleh ana...:))

No comments: