Friday, September 5, 2008

Ramadhan Kareem

Dengan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah,Ramadhan yang dinanti tiba jua.Bahagialah sesiapa yang mencintai ibadah dan mendamba keredhaan Allah Taala.Ikhlaskan hati,istiqamahkan diri mencari kasih-Nya dengan melaksanakan ibadah dan amal kebajikan.InsyaAllah,rahmat dan keampunannya sangat mudah diperoleh kerana pintu syurga telah dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup.Subhanallah!

Daripada Abi Hurairah r.a,Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:"Apabila tiba bulan Ramadhan,pintu-pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu."
Hadis riwayat oleh Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Nasaie,Imam Ahmad dan Imam Baihaqi.

Daripada Abi Hurairah r.a,aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda tentang Ramadhan:
Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan,diampun baginya dosa-dosa yang telah lalu."
Hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Tarmizi,Imam Abu Daud,Imam Nasaie,Imam Malik,Imam Ahmad dan Imam Baihaqi.

Tunggu apa lagi?Ayuh,kita mengimarahkan Ramadhan!

Pengalaman Puasa

Terkenang ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dulu.Ayah dan mak mendidik ana berpuasa seawal 6 tahun.Sewaktu itu,ana memaksa diri tidak makan dan minum sehingga diri menjadi lembik seperti sotong!Emak tidak pula menyuruh berbuka puasa dan tidak memaksa pula untuk berpuasa.Tetapi lebih menggalakkan supaya meneruskan puasa.Setiap jam mesti ana bertanya,"Mak,bila kita nak buka puasa?"
Sambil tersenyum melihat ana yang sudah melepek mak menjawab:"Sikit lagi sayang.Anak mak ni kuat boleh tahan puasa."Sudah dipuji begitu,sukalah ana.:)
Dan hasilnya ana berjaya berpuasa selama 27 hari.Alhamdulillah..Dimana lagi 3 hari?:)
Bukan itu sahaja,pulang dari pejabat,ayah terus bawa kami adik beradik ke Bazar Ramadhan untuk memilih juadah berbuka puasa.Kata ayah,ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa.Pertama,bila berbuka,gembira dengan waktu berbukanya dan yang kedua,gembira dengan puasanya apabila bertemu dengan Allah kelak.(Rujuk hadis di bawah)

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya."
Hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Nasaie,Imam Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Imam Baihaqi.

Kami hanya mengangguk-ngangguk.Dalam fikiran ana,gembira yang pertama itu mesti sebab ada juadah yang pelbagai dan lazat.Kecil lagi masa itu...tidak tahu konsep hadis.:)

Setiap kali hendak berbuka,mesti mahukan juadah yang banyak.Tamak betul waktu itu.Kata orang,mata lapar.Memang benar.Berbuka nanti sedikit sahaja yang dijamah.Kalau tidak dimakan lepas solat terawih,alamatnya jadi juadah ayam itik keesokan harinya.Mujur ada ayam itik....

Mungkin satu lagi penyebab semangat berkobar-kobar ingin berpuasa adalah kerana duit raya.Upah puasa sehari satu ringgit.Kalau 30 hari.Lumayan....Lebih-lebih lagi,atuk,opah,bapa saudara,emak saudara turut mengupah.Bertambah lumayanlah kita....:)

Semakin meningkat dewasa,semakin faham apa itu puasa.Tiada lagi pembaziran,tiada lagi duduk kosong membilang waktu berbuka,tiada lagi upah,tiada lagi melepek di atas katil mahupun di hadapan tv.Puasa di zaman dewasa lebih terisi.Tarbiah dan kesedaran diri yang seiring dengan kedewasaan mendorong kita menghayati apakah erti puasa yang sebenar.Alhamdulillah.

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna.Amin....




2 comments:

Anastácio Soberbo said...

Hello, I like this blog.
Sorry not write more, but my English is not good.
A hug from Portugal

Saya said...

salam..
wah..org portugal dtg tgk blog dila..hehe..jauh tuuh..ramadhan kareem..